ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan zon ekonomi yang biasa.
Sebaliknya, kata beliau, JS-SEZ adalah luar biasa melibatkan kerjasama rentas sempadan sekali gus memberi tanda aras baharu bagi kerjasama ekonomi dua hala.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Singapura meningkatkan minat antarabangsa terhadap JS-SEZ.
“Jangan memandang rendah kepentingan JS-SEZ. Ini bukan SEZ biasa dan telah menarik minat pelabur-pelabur dari Jepun, China, Korea Selatan dan Eropah serta meletakkannya sebagai dinamo pelaburan global baharu.
“Namakan saya satu lagi zon ekonomi yang melibatkan dua negara, dibina sepenuhnya atas kepercayaan dan semangat bekerja sebagai satu pasukan yang hebat. Ini yang membuatkan JS-SEZ unik,” katanya ketika berucap menutup Forum Nikkei Medini Johor di Sunway Bigbox di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
Anwar berkata, kemajuan JS-SEZ adalah bersandarkan kepada dasar yang jelas, kestabilan politik dan sokongan institusi daripada pihak berkuasa Persekutuan dan negeri.
Jelasnya, ini termasuk Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang baru ditubuhkan dengan peranan mempunyai pelbagai perkhidmatan memudahkan dan mempercepatkan prosedur kelulusan pelaburan.
“Setiap mesyuarat membawa tuntutan baharu. Jika mereka tidak mendapat kelulusan di peringkat negeri, mereka datang kepada kami. Dan kami memudah cara, bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk kebaikan dan manfaat lebih besar.
“Sebab itu pusat ini menjadi contoh untuk diikuti agensi negeri dan Persekutuan,” katanya.
Anwar turut mengiktiraf sumbangan Iskandar Investment Bhd (IIB), Khazanah Nasional dan Kerajaan Negeri Johor dalam merealisasikan JS-SEZ.
“Jadi kita mungkin mempunyai sistem politik yang stabil. Kita mungkin mempunyai dasar yang jelas dan minda yang hebat bekerja. Tetapi kita mesti mempunyai kelayakan, komitmen kedua-dua birokrat dan eksekutif dalam bidang ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















