KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada lagi keperluan untuk mengambil semula keterangan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses mengambil keterangan oleh pasukan penyiasat kali ketiga pada Khamis mengambil masa selama empat jam.
“Rakaman percakapan lebih kurang empat jam telah selesai dan setakat ini, pegawai penyiasat tiada keperluan untuk memanggil beliau lagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kertas siasatan kes masih berjalan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas proses siasatan selesai sepenuhnya.
Menurut Azam, keadaan kesihatan individu berkenaan juga berada dalam keadaan baik semasa sesi dijalankan.
Difahamkan, dua pegawai penyiasat SPRM tiba di kediaman ahli perniagaan itu pada jam 9.10 pagi dan beredar pada 4.34 petang. Ini merupakan sesi ketiga rakaman keterangan selepas dua sesi terdahulu pada 11 dan 12 Jun lalu.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan penyitaan aset dalam negara bernilai RM141 juta dan sedang mengesan aset di luar negara berjumlah RM15 juta yang turut dikaitkan dengan siasatan ini.
Antara sitaan melibatkan akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium dan tanah RM24.5 juta, sembilan kenderaan mewah RM7.65 juta, jam tangan mewah RM26 juta serta barangan kemas dan berlian bernilai RM10 juta.- MalaysiaGazette















