Antara penyokong Pertubuhan Sister In Islam (SIS) yang hadir bagi mendengar keputusan mengenai rayuan badan itu terhadap status sesat yang difailkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ketika di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 JUN 2025.

PUTRAJAYA – Penghakiman minoriti Mahkamah Persekutuan menyatakan, SIS Forum (Malaysia) tidak wajar mengelak daripada tertakluk kepada fatwa hanya kerana statusnya sebagai sebuah syarikat, walhal ia terus menerus mengeluarkan pandangan mengenai isu berkaitan Islam.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais ketika meluahkan kerisauannya berkata, pengecualian daripada fatwa tidak sepatutnya berlaku terhadap SIS Forum dengan melihat siapa individu di belakang syarikat itu.

“Namanya sendiri SIS Forum (Malaysia) atau `Sisters in Islam’ jelas menunjukkan identitinya. Adakah itu tidak cukup jelas? Saya tidak fikir begitu. Syarikat masih tertakluk kepada fatwa.

“Lagipun sesebuah syarikat tidak akan wujud tanpa pihak-pihak yang mengendalikannya. Perayu kedua yang merupakan pengarah eksekutif dan juga pengasas SIS Forum adalah seorang Islam.

“Semua pengarah syarikat dan ahlinya juga beragama Islam. Amat merisaukan apabila SIS Forum boleh `mengelak’ daripada fatwa namun sering membangkitkan dan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara yang melibatkan agama Islam,” ujar Hakim Abu Bakar.

Beliau menyatakan demikian ketika menolak rayuan SIS Forum berhubung pertikaian yang menyentuh fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.

Hakim Abu Bakar mencapai keputusan minoriti manakala tiga lagi hakim mencapai keputusan majoriti 3-1 membenarkan rayuan itu.

Mereka ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Ketika rayuan pada 2 Disember tahun lalu, prosiding didengar oleh panel lima hakim termasuk Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Keputusan dibuat menurut Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana panel bersidang hari ini tidak melibatkan Abdul Karim yang telah bersara pada April lalu selepas mencapai usia persaraan wajib 66 tahun.

Dalam keputusannya Hakim Abu Bakar selanjutnya menyatakan, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan permohonan semakan kehakiman SIS Forum kerana perkara itu terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Hakim Mahkamah Tinggi betul ketika menolak semakan kehakiman dan memutuskan bahawa pertikaian terhadap fatwa itu harus didengar oleh Mahkamah Syariah.

Hakim Abu Bakar berkata, isu bidang kuasa sahaja sudah memadai untuk melupuskan rayuan itu.

“Fatwa secara ringkasnya, adalah urusan umat Islam semata-mata dan penggunaannya adalah untuk masyarakat Islam.

“Mahkamah Syariah sepatutnya menjadi forum terbaik dan sesuai dan bukannya mahkamah sivil untuk memutuskan kesahihan sesuatu fatwa seperti yang ada sekarang,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan SIS bahawa fatwa itu tidak sah kerana ia memerlukan penguatkuasaan oleh badan persekutuan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/06/19/hakim-abu-bakar-pelik-mahkamah-syariah-tiada-kuasa-semakan-kehakiman/

“Sama ada jabatan atau agensi persekutuan dirujuk dalam fatwa yang dikeluarkan oleh sesebuah negeri untuk pelaksanaannya, itu tidak penting.

“Saya berasa pelik jika Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian mengenai fatwa,” katanya.

SIS Forum dan pengasasnya, Datin Zainah Mahfoozah Anwar merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan 12 tahun lalu yang melabelnya sebagai sesat dan menyeleweng.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme, sebagai menyimpang daripada Islam.

Semakan kehakiman itu yang difailkan pada Oktober 2014 bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2020 serta dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023.

Dalam semakan kehakiman itu, mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast