Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bercakap pada sidang media selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung pertikaian menyentuh fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng ketika di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 JUNE 2025

PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membuktikan fatwa berkaitan amalan serta pendapat pluralisme dan liberalisme adalah haram dan tidak boleh diamalkan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam Selangor, adalah sah.

Namun dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.

Sehubungan itu peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tiada keperluan untuk Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Jawatankuasa Fatwa Negeri meminda sedikit fatwa berkenaan.

Beliau yang juga salah seorang daripada kumpulan peguam yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berpendapat, fatwa tersebut cukup memadai untuk menguatkuasakan hukum terbabit.

“Apabila mahkamah sudah membuat keputusan dan mengatakan fatwa itu sah, perenggan satu dan empat terhadap individu-individu Islam, maka tidak ada perlu dari segi Perlembagaan atau undang-undang atau kehakiman untuk Majlis Fatwa pinda lagi, tak perlu.

“Tapi seandainya mereka berpendapat atau budi bicara mereka sendiri, mereka nak molekkan fatwa tersebut, itu adalah budi bicara mereka.

“Tetapi buat atau tidak, ia tidak menjejaskan kesahihan fatwa tersebut, itu yang diumumkan di Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Bekas Pengarah Eksekutif SIS, Zainah Anwar bercakap kepada media selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung pertikaian menyentuh fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng ketika di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 JUN 2025.

Turut hadir peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Yusfarizal Yussoff.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan berpendirian, fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum (Malaysia) sebagai sesat dan menyeleweng, tidak terpakai kepada pertubuhan itu.

Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.

Sebaliknya Tengku Maimun berpendapat, mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan satu dan empat.

Menurut Tengku Maimun, fatwa itu secara jelas membezakan antara individu (secara sah) dan syarikat (secara tidak sah).

Dalam pada itu, Haniff juga berkata, fatwa Selangor hanya boleh dikuatkuasakan terhad kepada individu-individu yang beragama Islam diharamkan daripada mengamalkan fahaman pluralisme dan liberalisme.

“Ia boleh dikuatkuasakan setakat perenggan dua, tiga, majoriti (hakim) mendapati ia keluar daripada bidang kuasa jawatankuasa fatwa.

“Jadi tak perlulah kita arahkan dan tak perlu Kementerian Dalam Negeri nak ikut fatwa tersebut untuk tangkap dia orang serta tak perlu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) nak ikut dan nak sekat (SIS).

“Tetapi MCMC dan KDN sendiri berpendapat ada undang-undang lain atau kuasa lain yang mereka ada, mereka nak laksanakan, itu kuasa mereka.

“Tetapi bahagian satu dan empat, iaitu fahaman pluralisme dan liberalisme oleh mana-mana individu Islam adalah haram dan mereka dinasihatkan untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar

“Dua-dua bahagian ini boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa majlis agama Islam, ia tertakluk kepada kes-kes yang berbangkit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast