WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata, beliau masih mempertimbangkan sama ada akan menyertai serangan Israel terhadap Iran, sambil mendakwa bahawa Tehran kini mahu berunding di White House tetapi mungkin telah terlambat.
Trump mengadakan mesyuarat kedua dalam tempoh dua hari di Bilik Situasi bersama pasukan keselamatan negara AS, sementara dunia terus meneka-neka sama ada beliau akan mengarahkan tindakan ketenteraan atau tidak.
“Saya mungkin akan lakukannya, saya mungkin tidak. Maksud saya, tiada siapa tahu apa yang saya akan lakukan,” kata Trump kepada wartawan semasa majlis pelancaran salah satu daripada dua tiang bendera gergasi yang baharu di White House.
“Saya boleh katakan bahawa Iran sedang menghadapi banyak masalah, dan mereka mahu berunding.”
Beliau menambah bahawa “minggu depan akan menjadi sangat penting” dalam menentukan nasib Iran.
White House menyatakan bahawa Trump akan diberikan taklimat lagi di Bilik Situasi pada Khamis, yang merupakan cuti umum di Amerika Syarikat.
Kenyataan Trump itu dibuat selepas Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, Ayatollah Ali Khamenei menolak tuntutannya untuk menyerah tanpa syarat dan memberi amaran kepada Amerika Syarikat tentang “kerosakan yang tidak dapat dipulihkan” sekiranya ia campur tangan.
Sehari selepas menyebut Khamenei sebagai “sasaran yang mudah”, Trump memberitahu AFP di Pejabat Oval bahawa perubahan kepimpinan di Tehran “boleh berlaku”.
Namun, Presiden Republikan itu — yang menghadapi tentangan daripada kelompok pendukungnya yang cenderung kepada dasar tidak campur tangan dalam konflik luar — menegaskan bahawa beliau masih belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk bertindak terhadap Iran atau tidak.
“Saya ada idea apa yang boleh dilakukan, tetapi saya belum buat keputusan muktamad,” kata Trump. “Saya suka buat keputusan akhir satu saat sebelum tiba masanya, sebab banyak perkara boleh berubah. Terutamanya bila melibatkan peperangan.”
The Wall Street Journal melaporkan bahawa Trump telah memberitahu para pembantunya pada hari Selasa bahawa beliau telah meluluskan rancangan serangan ke atas Iran, tetapi masih menangguhkan pelaksanaannya untuk melihat sama ada Iran akan menghentikan program nuklearnya.
“Semua pilihan masih terbuka,” kata seorang pegawai White House kepada AFP apabila ditanya tentang laporan tersebut.
Setiausaha Negara Marco Rubio akan bertemu pada hari Khamis di Washington dengan Setiausaha Luar Britain, David Lammy, menurut Jabatan Negara, bagi perbincangan yang dijangka tertumpu kepada isu Iran.
– ‘Sudah terlalu lewat’ –
Trump kelihatan tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan yang mungkin menjadi salah satu yang paling penting sepanjang tempoh presidennya — apabila beliau menghabiskan lebih sejam menguruskan pemasangan tiang bendera baharunya.
Beliau berkata Iran sedang cuba menghubungi untuk memeterai perjanjian berkaitan program nuklearnya bagi menamatkan konflik dengan sekutu AS, Israel.
“Mereka mahu datang ke White House, saya mungkin akan lakukannya,” kata Trump. Namun beliau menambah bahawa “sudah terlalu lewat untuk berbincang… Banyak yang telah berubah antara sekarang dan seminggu yang lalu.”
Iran pula menafikan bahawa mereka telah menawarkan untuk menghantar pegawai ke Washington.
“Tiada seorang pun pegawai Iran pernah meminta untuk merayu di hadapan pintu White House,” menurut kenyataan misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di platform X.
Trump sebelum ini lebih memilih jalan diplomatik untuk menamatkan program nuklear Iran, dengan hasrat mewujudkan perjanjian baharu bagi menggantikan perjanjian asal yang beliau tarik diri pada tahun 2018, semasa penggal pertama beliau.
Namun sejak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melancarkan serangan ke atas Iran enam hari lalu, Trump telah menyokong penuh sekutu utama AS itu dan kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk menggunakan kuasa ketenteraan AS terhadap Tehran juga.
Trump berkata pada hari Rabu bahawa Iran hanya tinggal “beberapa minggu” sahaja lagi daripada keupayaan untuk membina bom nuklear.
Beliau menyatakan bahawa Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara yang memiliki bom “bunker buster” yang mampu memusnahkan loji nuklear Fordow Iran, “tetapi itu tidak bermakna saya akan lakukannya.”
Presiden AS itu berkata beliau telah memberitahu Netanyahu untuk “teruskan” serangan Israel terhadap Iran, sambil menambah bahawa mereka berhubung setiap hari.
Trump bagaimanapun menolak tawaran Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menjadi orang tengah dalam konflik Israel-Iran, sambil berkata Rusia patut selesaikan dahulu perang di Ukraine.
“Dia memang tawarkan untuk jadi orang tengah, saya kata ‘tolonglah, selesaikan masalah kamu sendiri dulu. Mediasi perang kamu dulu, ok? Yang ini boleh tunggu kemudian,’” kata Trump. -AFP















