SHAH ALAM – Penduduk Taman Bukit Kemuning menyifatkan keadaan banjir di kawasan perumahan berkenaan sejak pagi tadi adalah yang terburuk sejak beberapa tahun ini.
Menurut Timbalan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Kemuning, Amiruddin Savai, kali ini air naik sehingga paras dada, menyebabkan dia bimbang terhadap keadaan rumah yang dihuninya selama 30 tahun itu.
“Ini adalah banjir kilat terburuk berbanding banjir besar pada 2001. Selalunya biasa je hanya paras buku lali, sekarang ini paras dada.
“Setiap kali hujan memang air naik, selepas banjir besar pada 2001 JKR (Jabatan Kerja Raya) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) buat tambah baik infrastruktur tapi kali ini buruk,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak yang berkenaan akan membantu penduduk kawasan itu bagi mengatasi masalah banjir di situ.
Sementara itu, pemilik kedai runcit di Taman Bukit Kemuning Kanagasabai A/L Gopal mendedahkan mengalami kerugian lebih RM20,000 akibat banjir kali ini.
Katanya, situasi berkenaan terpaksa dihadapinya setiap kali hujan berterusan.
“Di dalam ni (di kawasan perumahan ini) bukan semua orang berada bukan semua gaji besar. Di kedai saya sendiri semua barang rosak, peti sejuk dan banyak lagi. Kos kerugian tu kita kena tanggung.
“Kita tidak tahu apa tindakan kerajaan untuk bantu selesaikan masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk kawasan itu Junainah Johan, 43, gagal menahan sebak mengenangkan keadaan rumahnya yang dinaiki air.
Dakwanya, hampir semua perabot dimilikinya rosak akibat air yang tinggi.
“Tahun pertama masa itu 2022 saya pindah di sini dah banjir, tuan rumah masa itu tidak beritahu. Kali ini paling teruk. Hujan lebih tiga jam mesti banjir,” katanya yang memberitahu air mula naik di kawasan perumahan itu sejak 6 pagi tadi.

Katanya, sebuah sekolah di Jalan Bukit Kebun turut dilanda banjir mengakibatkan anaknya tidak boleh bersekolah hari ini.
Sehubungan itu beliau berharap agar pihak berkuasa pantas membaiki pam air parit yang dikatakan rosak.
“Anak di sekolah pun tidak boleh keluar sebab banjir di Jalan Bukit Kebun, pemandu van pun tidak boleh ambil anak sebab banjir.
“Minta bantulah untuk tengok paras parit di sini. Kalau pam di parit itu berfungsi mungkin tidak banjir,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















