KUALA LUMPUR – Seramai 155 penerima terdiri daripada 20 pegawai, 134 anggota lain-lain pangkat serta seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik Maltbatt 850-12 dianugerahkan Pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Medal) dalam satu perbarisan penuh istiadat yang berlangsung di Kem Marakah, Lubnan.
Majlis serahan anugerah berkenaan disempurnakan menerusi Perbarisan Medal Parade ini diketuai Timbalan Komander Malbatt 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin, selaku Ketua Perbarisan diiringi oleh kumpulan pancaragam dari Ghana Battalion (GHANBATT).
Mendahului penerima pingat UN ialah Komander Malbatt 850-12, Kolonel Johan Effendi i Mohd Shalleh, sebagai simbol pengiktirafan tertinggi terhadap kepimpinan dan peranan utama beliau dalam pelaksanaan misi.
Seterusnya, penyampaian pingat diteruskan kepada Pegawai-pegawai Kanan serta keseluruhan anggota lain-lain pangkat yang disempurnakan oleh Komander Sektor Barat UNIFIL, Brigadier General Nicola Mandolesi.
Turut hadir dan menyempurnakan pemakaian pingat ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Lubnan, Azri Mat Yacob, sebagai tanda sokongan dan penghargaan Kerajaan Malaysia terhadap peranan yang dimainkan oleh kontinjen negara dalam usaha keamanan antarabangsa.
Terdahulu, Penganugerahan Pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini merupakan pengiktirafan rasmi terhadap sumbangan anggota Malbatt 850-12 dalam mengekalkan keamanan serantau dan pelaksanaan misi antarabangsa dengan penuh profesionalisme serta dedikasi.
Malbatt 850-12 telah memulakan penugasan di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) pada November 2024, ketika Lubnan berdepan fasa mencabar akibat konflik di selatan negara serta ketegangan semasa serantau yang melibatkan Israel dan Iran.
Situasi ini memberi tekanan besar terhadap kestabilan politik dan keselamatan rakyat tempatan.-MalaysiaGazette
















