KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan pada Mei 2025 dengan peningkatan 2.6 peratus daripada RM246.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM252.5 bilion, didorong terutamanya oleh pertumbuhan import 6.6 peratus, mencecah RM125.9 billion.

Manakala eksport menurun 1.1 peratus dengan nilai RM126.6 bilion.

Sebaliknya, imbangan dagangan mencatatkan RM0.8 bilion pada Mei 2025 berbanding RM10.0 bilion pada Mei 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan eksport Malaysia didorong oleh kejatuhan eksport domestik pada Mei 2025.

Eksport domestik, yang merangkumi 79.6 peratus daripada jumlah eksport, menurun 4.7 peratus kepada RM100.8 bilion, manakala eksport semula, yang membentuk 20.4 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 16.1 peratuskepada RM25.8 bilion berbanding Mei 2024.

Selain itu, import berjumlah RM125.9 bilion, meningkat 6.6 peratus atau RM7.8 bilion.

Lebihan dagangan menandakan lebihan berterusan selama 61 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, menyusut 92.3 peratus kepada RM766.3 juta.

Berbanding dengan April 2025, eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 5.2 peratus, 2.0 peratus, 3.6 peratus dan 85.1 peratus.

Melihat dari sudut kumpulan barangan, 136 daripada 258 kumpulan eksport mencatatkan penurunan.

Sementara itu, 118 daripada 260 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, eksport yang lebih rendah disumbangkan terutamanya ke Singapura (-RM4.0 bilion), diikuti oleh Jepun (-RM1.8 bilion), Filipina (-RM719.0 juta), China (-RM679.2 juta), India (-RM557.2 juta), Rusia (-RM400.5 juta) dan Türkiye (-RM295.3 juta).

Namun, peningkatan import kebanyakannya disumbang oleh Amerika Syarikat (+RM5.1 bilion), diikuti oleh Taiwan (+RM3.2 bilion), China (+RM3.0 bilion), Kuwait (+RM685.2 juta), Switzerland (+RM424.1 juta), Mexico (+RM401.1 juta) dan Hong Kong (+RM352.7 juta).

Menurutnya, penurunan ini sejajar dengan penyusutan dalam keluaran petroleum (-RM3.3 bilion); gas asli cecair (-RM1.7 bilion); kimia & bahan kimia (-RM952.5 juta); petroleum mentah (-RM730.5 juta); barangan besi & keluli (-RM377.3 juta); serta kertas & keluaran kertas (-RM279.2 juta).

Selain itu, peningkatan import direkodkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM14.3 bilion); bijih logam & serpihan logam (+RM1.1 bilion); keluaran pertanian yang lain (+RM366.4 juta); keluaran perkilangan lain (+RM321.7 juta); barang kemas (+RM228.6 juta); serta minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM129.2 juta). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast