TOKYO – Harga beras di Jepun meningkat dua kali ganda dalam tempoh 12 bulan sehingga Mei, menurut data pada 20 Jun, ketika inflasi yang semakin pantas menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya penting pada bulan Julai.
Pilihan raya untuk Dewan Atasan Parlimen adalah penting bagi Ishiba selepas sokongan awam terhadap pemerintahannya merosot ke tahap paling rendah sejak beliau memegang jawatan pada Oktober.
Sebahagian besarnya disebabkan kekecewaan rakyat terhadap kos sara hidup.
Salah satu punca utama kemarahan rakyat ialah kenaikan mendadak harga makanan ruji itu, yang telah meningkat selama berbulan-bulan akibat kekurangan bekalan yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk gangguan rantaian bekalan.
Harga beras melonjak sebanyak 101 peratus tahun ke tahun pada Mei, selepas naik 98.4 peratus pada April dan lebih 92.5 peratus pada Mac.
Kenaikan itu menyumbang kepada peningkatan inflasi teras – yang tidak termasuk harga makanan segar yang berubah-ubah – kepada 3.7 peratus, paras tertinggi sejak Januari 2023, dan naik dari 3.5 peratus pada April.
Krisis beras ini telah mendorong kerajaan mengambil langkah luar biasa dengan melepaskan stok kecemasan sejak Februari, sesuatu yang biasanya hanya dilakukan semasa bencana.
Namun, beras bukan satu-satunya punca kenaikan inflasi, sebaliknya kenaikan bil elektrik 11.3 peratus pada Mei, manakala caj gas naik 5.4 peratus, menurut data 20 Jun.
Tanpa mengambil kira tenaga dan makanan segar, harga pengguna di Jepun meningkat 3.3 peratus berbanding 3 peratus pada April.
Bagi membantu isi rumah menghadapi kos sara hidup, Ishiba telah berjanji memberi bantuan tunai sebanyak 20,000 yen (RM629) kepada setiap rakyat, dan dua kali ganda jumlah itu untuk setiap kanak-kanak, menjelang pilihan raya. – Agensi
















