KUALA LUMPUR – Sisters in Islam (SIS) menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam bukan hanya kemenangan kepada pertubuhan itu, tetapi kemenangan untuk seluruh rakyat yang percaya kepada proses yang wajar, pengawasan demokrasi dan semangat Islam yang inklusif.
SIS dalam satu kenyataan seperti disiarkan menerusi portal Aliran malam tadi berkata, selama lebih satu dekad, SIS telah dilabel sebagai `sesat’ kerana memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.
Ujarnya, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menegaskan perjuangan mereka dilindungi di bawah peruntukan kebebasan asasi yang dijamin untuk semua rakyat oleh Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, gagasan yang menyatakan prinsip-prinsip seperti keadilan, belas ihsan, meninggikan martabat, dan perbezaan pendapat adalah asing dalam Islam adalah tidak benar, malah ia warisan intelektual dan perundangan yang kaya.
“Kami ulangi yang perjuangan kami tidak pernah bertujuan menyerang Islam atau pihak berkuasa yang berkaitan.
“Sebaliknya, ia merupakan cabaran kepada proses yang tidak mempunyai ketelusan, keadilan semula jadi dan kesaksamaan,” katanya.
Tambahnya, SIS percaya apabila sesebuah negara menggunakan Islam sebagai sumber undang-undang, dasar dan amalannya, akan tetapi hasilnya mendiskriminasi wanita dan melanggar kebebasan asasi manusia, maka rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan semakan kehakiman.
Ujarnya, kes itu bukan mengenai Islam, tetapi berkaitan undang-undang dan dasar awam yang mesti melalui perdebatan awam.
“Keputusan hari ini (semalam) menjadi tanda aras penting dalam memastikan pihak berkuasa agama mesti bertanggungjawab terhadap nilai-nilai perlembagaan dan tidak menggunakan kuasa tanpa kawalan,” katanya.
Dalam pada itu, SIS turut berterima kasih kepada pasukan peguam, penyokong dan orang ramai yang telah mendorong pertubuhan berkenaan sepanjang perjalanan kes tersebut sehingga sejauh ini.
“Kami berharap untuk meneruskan perjuangan kami berlandaskan prinsip Islam dan piawaian hak asasi manusia ke arah membina masyarakat yang lebih adil, belas ihsan dan inklusif untuk semua, lebih-lebih lagi untuk wanita Islam,” katanya.
Semalam, Mahkamah Persekutuan berpendirian fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng serta tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat bukan individu yang menganut agama Islam. – MalaysiaGazette
















