Aedy.

BUTTERWORTH – Siasatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu kini berada di peringkat akhir,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

“Dua kertas siasatan sedang disediakan iaitu membabitkan syarikat pengendali bas dan satu lagi terhadap syarikat yang memajak bas berkenaan.

“Setakat ini, siasatan sudah memasuki fasa akhir dan kita jangka akan serahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat, tidak sampai sebulan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Aedy menyempurnakan penyerahan bantuan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal) kepada seramai 993 penerima menerusi Program MyLesen Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025.

Mengulas lanjut, Aedy turut menafikan siasatan terganggu susulan dakwaan kononnya pengusaha syarikat mengalami serangan jantung.

“Kita ambil tindakan mengikut peraturan sedia ada dan tak ada pula isu masalah kesihatan.

“Bagaimanapun, kalau dia (pengendali) masuk hospital ke apa, kita akan tunggu untuk tindakan lanjut tapi buat masa sekarang, kita sedang sediakan kertas siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, JPJ akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat bas terbabit sekiranya didapati melanggar peraturan dan gagal memastikan keselamatan operasi.

Pada 9 Jun lalu, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar UPSI terbabas dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak

Tragedi menyayat hati itu meragut 15 nyawa pelajar UPSI, manakala 29 lagi cedera, menjadikan keseluruhan mangsa seramai 44 orang.

Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast