Hebahan Orang Hilang IPD Kuantan

KUANTAN – Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Nik Nur Hidayah Nik Abdullah yang dilaporkan hilang sejak petang semalam di sekitar Sungai Isap, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, laporan dibuat ibu mangsa kira-kira pukul 5 petang selepas tidak menemui mangsa ketika menjemputnya pulang daripada sekolah.

“Ibu mangsa sebelum itu menunggu di luar pagar sekolah selama sejam sebelum cuba bertanya dengan guru-guru selain mencarinya dalam kawasan sekolah terbabit.

“Bagaimanapun, mangsa gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada mangsa kemudian memaklumkan dia ternampak mangsa bersama seorang pelajar perempuan lain keluar melalui pintu belakang sekolah.

Kedua-dua mereka kemudian dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.

Menurut Wan Mohd Zahari, ibu mangsa yang merupakan seorang suri rumah berjaya menghubungi anak tunggalnya itu kira-kira jam 8.23 malam tadi menerusi pesanan di aplikasi ‘whatsapp’.

Namun, sehingga berita ini ditulis, mangsa yang berkulit sawo matang dengan ketinggian kira-kira 150 sentimeter dan berpakaian seragam sekolah masih belum pulang ke pangkuan keluarganya.

Justeru, beliau menyeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat tentang kehilangan mangsa untuk tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast