SHAH ALAM – Pam di Taman Bukit Kemuning yang sepatutnya mengeluarkan air daripada parit didapati tidak berfungsi, menyebabkan taman perumahan di sini banjir, berikutan hujan berterusan pagi tadi.
Wartawan MalaysiaGazette yang berada di lokasi dimaklumkan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) sedang berusaha untuk menghidupkan semula pam berkenaan.
Difahamkan kira-kira 180 buah rumah di Taman Bukit Kemuning di sini terjejas akibat banjir selepas hujan berterusan pagi tadi.
Ketua Bomba Zon Shah Alam, Mohd Zaidi Safuan berkata, pihaknya kini sedang memindahkan penduduk ke Dewan MBSA Kemuning Utama untuk sementara waktu secara berperingkat.
Namun katanya, dewan tersebut sehingga kini belum ditetapkan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Kita telah mengeluarkan hampir 100 orang ke dewan berhampiran untuk mereka berehat.
“Kita minta mereka semua keluar sebab mereka boleh dapatkan keperluan semua di dewan sementara dan memudahkan pemantauan keselamatan mereka.
“Mereka kalau boleh tidak mahu keluar sebab sayang dengan rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Taman Bukit Kemuning antara kawasan di Shah Alam yang dinaiki air akibat hujan. -MalaysiaGazette
















