KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon pertimbangan kerajaan untuk menaikkan gred gaji anggotanya secara sekali beri (one-off).
Ini sebagai usaha merangsang motivasi dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain berkata, cadangan itu tidak melibatkan perubahan jawatan atau pangkat, sebaliknya memberi penambahbaikan secara langsung kepada pegawai yang layak.
“Pegawai polis akan terus memegang pangkat sedia ada dengan deskripsi tugas tambahan, namun menerima gred gaji setara dengan pangkat yang lebih tinggi.
lInisiatif ini mengambil kira kekangan struktur organisasi dan aspek kawal selia, serta selari dengan falsafah ganjaran bersepadu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Jawatan beliau secara rasmi diserahkan kepada Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15.
Majlis berkenaan disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam pada itu, Razarudin turut memaklumkan PDRM mencadangkan penubuhan Jabatan Siber dan Teknologi sebagai entiti khas yang akan memperkasa keupayaan pasukan dalam mendepani jenayah era digital.
Menurutnya, jabatan tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan logistik dan teknologi terkini selaras dengan perubahan landskap jenayah yang semakin mencabar.
“Jabatan ini akan berperanan menyelaras perkongsian maklumat antara jabatan dalam PDRM untuk mewujudkan momentum kejayaan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh serta meningkatkan kadar keberhasilan operasi.
“Gerak kerja awal penubuhan jabatan itu sedang dilaksanakan dan kini dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk pertimbangan lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette















