KUANTAN – Seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 191.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari berkata, kejadian pada pukul 5.40 pagi itu membabitkan kereta Perodua Axia dinaiki mereka dari arah Maran menghala ke Kuantan.
“Hasil siasatan awal mendapati, ketika kereta itu sedang bergerak lurus di lorong kiri, ia telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian tersebut, pemandu kereta, Mohamad Fitri Yamani Zaki Yamani, 24 mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, penumpangnya, Muhammad Rizqi Akasyah Abdullah, 18 yang merupakan pembantu Kedai Makan Jaman Tory mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















