Saudara Pengarang,
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), khususnya petugas di KLIA.
Baru-baru ini, datuk dan nenek saya, antara jemaah haji yang berangkat ke Tanah Suci di bawah pengurusan Lembaga Tabung Haji, telah selamat pulang ke tanah air.
Sebelum berlepas, antara perkara yang merisaukan mereka ialah urusan di lapangan terbang. Maklumlah, sebagai warga emas, keadaan lutut mereka tidak lagi sekuat dahulu, dan ini hanya kali ketiga mereka menaiki pesawat sepanjang hayat.
Tambahan pula, ramai sanak saudara pernah berkongsi KLIA sentiasa sesak dan mudah memeningkan bagi mereka yang jarang berkunjung ke sana. Maka, bayangkan sahaja kegusaran mereka, di samping kebimbangan tentang perjalanan ibadah di Tanah Suci.
Sebagai anak dan cucu, kami berusaha meyakinkan mereka semua urusan akan dipermudah oleh pihak Tabung Haji dan petugas MAHB di KLIA. Untuk membantu persiapan mental, kami juga menayangkan video di YouTube dan TikTok tentang KLIA bagi mengurangkan kerisauan mereka.
Alhamdulillah, datuk dan nenek menerima layanan amat baik daripada petugas di KLIA. Mereka dilayan dengan penuh dedikasi, profesionalisme, serta mesra warga emas.
Permulaan perjalanan yang positif di KLIA membantu menenangkan hati mereka dan memberi keyakinan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah. Sepanjang berada di Tanah Suci, mereka tidak putus-putus melahirkan rasa syukur kerana pengalaman penerbangan yang dahulunya ditakuti, berjaya diatasi dengan khidmat mesra daripada petugas Tabung Haji, KLIA, serta syarikat penerbangan AMAL.
Ketibaan pulang mereka di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, turut membuka mata kami tentang satu aspek baharu di KLIA, iaitu kewujudan pasukan paramedik yang bersedia di lapangan terbang. Menurut datuk dan nenek, pasukan paramedik ini siap siaga menunggu di pintu ketibaan dan sepanjang koridor untuk sebarang kecemasan.
Pengalaman positif ini membuktikan kecekapan KLIA bukan sahaja terletak pada kemudahan fizikal dan sistem automasi, tetapi juga pada kesiapsiagaan petugas yang menggerakkan operasinya. Pasukan paramedik KLIA mungkin jarang disebut dalam naratif umum, namun mereka merupakan tonggak penting dalam membentuk pengalaman pengguna lapangan terbang, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas.
Sebagai pengunjung tetap KLIA, saya turut melihat pelbagai perubahan positif, daripada susun atur ruang yang lebih moden, papan tanda yang jelas, hinggalah proses imigresen yang semakin lancar. KLIA kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang meyakinkan.
Sudah tentu, masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Namun pengalaman kami sekeluarga membuktikan satu perkara asas: apabila aspek kritikal seperti bantuan perubatan diberi keutamaan, kesannya meluas dan meningkatkan keyakinan pengguna. Jika semangat dan usaha ini diteruskan, saya percaya KLIA mampu berdiri setanding dengan lapangan terbang terbaik dunia serta menjadi lambang kecekapan Malaysia.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Tabung Haji, MAHB, dan semua petugas yang membantu jemaah haji Malaysia. Semoga terus maju dan mengharumkan nama negara.
Siti Sabrina Mustafa
Bukit Jelutong
















