Aedy Fadly menyempurnakan penyerahan bantuan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal) kepada seramai 993 penerima menerusi Program MyLesen Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 di Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti kemungkinan untuk membatalkan lesen memandu yang diperoleh menerusi Program MyLesen B2 sekiranya penerima terlibat kegiatan rempit serta melanggar undang-undang jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu sebagai usaha mencegah salah guna kemudahan yang disediakan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu masih di peringkat pertimbangan awal dan belum dimuktamadkan.

“Saya telah arahkan Bahagian Pelesenan Pemandu untuk mengkaji perkara ini dan mereka yang melakukan kesalahan akan dikenal pasti kerana  Kita ada senarai penuh penerima MyLesen dalam sistem JPJ.

“Kita harap mereka, terutamanya anak muda, gunakan lesen ini secara bertanggungjawab. Kami tak akan beri muka kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jalan raya terutamanya anak-anak muda yang merempit (mat rempit),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 993 penerima memperolehi lesen menerusi program terbabit dan daripada jumlah terbabit, 95 peratus daripadanya terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta golongan belia di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, secara keseluruhannya seramai 15,000 individu menerima lesen percuma menerusi program berkenaan.

“Pendekatan baharu turut digunakan yang mana program MyLesen ini juga dikembangkan di peringkat institut pengajian tinggi, kolej awam dan sekolah untuk pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast