KUALA LUMPUR – Penyanyi rock tanah air, Rahmad Tohak atau lebih dikenali sebagai Rahmad Mega secara rasmi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Perkara itu dikongsikan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini, yang turut memaklumkan telah menerima borang penyertaan daripada penyanyi berkenaan semalam.
Sambil mengalu-alukan penyertaan Rahmad Mega itu, Mohamad turut menyifatkan ia sebagai satu suntikan baharu dalam gerakan politik Amanah.
Jelasnya yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, parti itu mendekati rakyat bukan hanya melalui ceramah dan forum, tetapi juga melalui seni, budaya dan suara hati nurani masyarakat.
“Amanah percaya bahawa seni adalah medium yang kuat untuk membina jiwa bangsa.
“Dengan kehadiran Rahmad, kita yakin suara kita akan lebih bergema dan sampai ke hati rakyat.
“Selamat datang ke dalam keluarga besar Amanah, Saudara Rahmad. Ayuh kita terus melangkah bersama, demi Malaysia yang lebih adil, progresif dan berjiwa rahmah!” katanya.
Rahmad, 56, merupakan penyanyi rock terkenal sekitar 90-an bersama kumpulan Mega khususnya menerusi lagi popular Takdir dan Waktu. – MalaysiaGazette
















