KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memuji kecekapan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang tidak pernah lewat memberi maklum balas terkini, meskipun beliau menghantar mesej pada awal pagi.
Jelas Menteri Dalam Negeri itu, sikap Razarudin dalam memberi respon terhadap komunikasi rasmi menjadi antara kriteria penting yang dinilai dalam kepimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara.
“Kalau saya mesej pukul 2.01 pagi, dia jawab 2.05 pagi. Kalau saya mesej 3.30 petang, dia jawab 3.33 petang. Itu biasa.
“Jadi harapan saya kepada Ketua Polis Negara yang baharu, pukul 2 petang kita mesej, 2-3 minit selepas itu dia jawab.
“Sebab biasanya kalau saya mesej, memang daripada ‘big boss’ iaitu Perdana Menteri,” katanya dalam Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Ketua Polis Negara Baharu di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika mengulas pelantikan Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang mengambil alih tampuk kepimpinan pasukan keselamatan tertinggi negara bermula hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa jawatan Ketua Polis Negara bukanlah satu anugerah untuk dibanggakan, sebaliknya satu amanah besar yang datang bersama beban tanggungjawab dan pertanggungjawaban.
“Kita ada tanggungjawab dan kita ada pertanggungjawaban. Jawatan ini satu amanah, bukan anugerah. Satu bebanan, bukan kebanggaan,” tegasnya.
Saifuddin turut berkongsi pengalamannya bekerja rapat dengan dua Ketua Polis Negara terdahulu, iaitu Tan Sri Acryl Sani dan Tan Sri Razarudin, yang menurutnya telah memberikan banyak pengajaran serta panduan dalam pengurusan keselamatan negara.
Antara pengalaman paling diingatinya ialah misi membawa pulang dua rakyat Malaysia dari luar negara pada tahun 2023, yang menuntut rundingan kompleks bersama pelbagai agensi keselamatan Amerika Syarikat seperti FBI, CIA dan Pentagon.
“Saya jumpa dulu dengan FBI, CIA, Secretary of Defence dan semua sekali. Tugas besar adalah memujuk kedua-dua orang bersetuju dan pergi. Dan itulah momen saya rasa, bahawa aku menteri.
“Tetapi dalam bab macam ini, kalau kita punya seorang Ketua Polis Negara yang tahu tugas, cekap dalam menjalankan tanggungjawab, tahu macam mana skrip nak kita lafazkan,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan misi itu juga tidak mungkin tercapai tanpa kepakaran pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meyakinkan rakan strategik antarabangsa bahawa Malaysia memiliki keupayaan mengurus risiko keselamatan, khususnya berkaitan keganasan.
“Masa itu saya panggil cawangan khas, berdepan dengan pasukan mereka. Menjawab dengan yakin, terang dan fasih.
“Alhamdulillah. Ini menunjukkan bahawa dalam kes ini, cawangan khas kita ada kepakaran dan kelebihan yang mampu meyakinkan kuasa besar seperti Amerika,” katanya lagi.
Mengulas insiden serangan terhadap anggota polis di Johor sebelum ini, Saifuddin memuji ketenangan dan kebijaksanaan Razarudin dalam mengurus krisis tersebut, yang menurutnya berjaya meredakan keresahan awam dan mengekalkan keyakinan rakyat.
Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap Ketua Polis Negara yang baharu untuk meneruskan legasi kecemerlangan pasukan dan memperkukuh integriti serta profesionalisme PDRM.
“Saya percaya pasukan keselamatan negara ini sangat kompeten dan mempunyai sejarah panjang dalam menjaga keselamatan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette















