Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknoogi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib (kiri) bersama Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi (kanan) dalam Program Pameran Pendidikan Pelabur Bersama Invest Smart @Pahang di sini, hari ini

KUANTAN – Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia menambah sebanyak 59 entiti ke dalam kemaskini 273 Senarai Peringatan Pelaburnya bagi suku pertama tahun 2025.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, bagi tempoh sama juga, pihaknya telah menyekat sebanyak 29 laman sesawang dan 91 laman media sosial berkaitan pelaburan yang mengelirukan.

“Aktiviti ‘scam’ sekarang semakin hari semakin membimbangkan dan menjadi satu masalah besar negara kerana berdepan kerugian besar.

“Itu hasil dapatan daripada laporan yang dibuat mangsa-mangsa penipuan. Tapi sebenarnya banyak lagi yang tidak dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pameran Pendidikan Pelabur Bersama Invest Smart @Pahang di sini, hari ini yang dirasmikan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknoogi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Program tiga hari bermula 20 hingga 22 Jun itu dianjurkan sebagai inisiatif pendidikan pelabur oleh SC bagi memperkasakan rakyat khususnya di Pantai Timur dengan ilmu pelaburan serta meningkatkan kesedaran mengenai penipuan pelaburan.

Sebanyak 40 reruai pameran melibatkan pelbagai agensi dan syarikat pelaburan menyertai program bertemakan ‘Bijak Labur Hidup Makmur’, termasuk penyertaan pelaburan patuh syariah bagi memberi keyakinan kepada umat Islam.

Dalam pada itu, Mohammad Faiz berkata, masyarakat perlu membuat pelaburan dengan syarikat atau entiti yang sah bagi mengoptimum simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, mereka perlu cakna dengan status pelaburan dan entiti tersebut terutamanya tidak terpedaya dengan janji pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan serta jaminan pelaburan yang tidak akan rugi.

“Orang yang melabur ni mesti prihatin juga terhadap pelaburan yang ingin dilakukan. Jangan terus percaya tanpa penelitian.

SC juga katanya menggesa pelabur untuk membuat penilaian teliti sebelum melabur dan mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang rasmi SC di www.sc.com.my/investor-alert. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast