KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyalahkan Menteri Dalam Negeri kerana tidak memberi kebenaran kepada Datuk Seri Najib Razak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Isnin lalu.
Shafee berkata, walaupun beliau sudah mengutus surat beberapa kali kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini, namun tiada jawapan diterima sehingga ke hari ini.
“Oleh sebab dia (Najib) tak boleh buat laporan sebab dia (Najib) dalam penjara, jadi saya terpaksa buat laporan itu.
“Pihak penjara memang bermurah hati, dia tiada bantahan untuk Datuk Seri Najib membuat laporan polis, malangnya mereka perlu kebenaran orang atasan iaitu Menteri Dalam Negeri.
“Kita sudah tulis banyak kali kepada dia (Menteri Dalam Negeri) tak dapat jawapan, daripada menteri ya, penjara kata dia tak ada bantahan kalau menteri kata okay,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan Najib melalui Shafee membuat laporan polis terhadap bekas peguam negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh berhubung isu titah adendum.
Dalam laporan tersebut, Najib menuduh Terrirudin “secara sengaja” mengelirukan Mahkamah Tinggi dengan menyatakan kewujudan titah tambahan diraja itu hanyalah spekulatif.
Semasa pendengaran, Terrirudin mengarahkan peguam persekutuan membantah permohonan atas alasan bahawa ia ‘bersifat spekulatif’, sekali gus memberi gambaran titah tambahan itu tidak wujud walaupun beliau sepenuhnya sedar tentang kewujudannya dan turut menyampaikan kepalsuan ini kepada mahkamah melalui surat.
Ketika diminta mengulas mengenai laporan polis itu, Shafee berkata, beliau tidak boleh mendedahkan isi kandungan laporan yang ditulis sendiri Najib.
“Saya tak boleh cerita lebih daripada dalam kandungan laporan polis, sebab sebenarnya kandungan laporan polis itu adalah laporan Datuk Seri Najib sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















