JOHOR BAHRU – Sebuah kilang yang dijadikan tempat penyimpanan lori dan minyak enjin lori terbakar di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri di sini hari ini.
Kebakaran yang bermula sekitar pukul 12.30 tengah hari itu turut menghasilkan kepulan asap yang dianggarkan setinggi 100 meter dan boleh dilihat dari kawasan berdekatan.
Keadaan itu mengakibatkan penduduk di sekitar Jalan Kempas 7 yang berada hanya kira-kira 50 meter dari lokasi kebakaran telah diminta untuk mengosongkan rumah.
Ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini malah bekalan elektrik ke kawasan perumahan tersebut juga telah ditutup.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Pegawai Bomba, Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.54 tengah hari.
Susulan itu seramai 34 anggota dari BBP Pasir Gudang, BBP Johor Jaya, BBP Tebrau, BBP Kota Tinggi, BBP Larkin, BBP Mount Austin dan BBP Ulu Tiram dikejarkan ke tempat kejadian.
Mereka dibantu empat jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan masing-masing sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT), lori tangki, pacuan empat roda Hilux dan kenderaan Fri Triton.
“Anggaran awal kemusnahan kebakaran itu sebanyak 60 peratus. Keadaan angin yang kuat mengakibatkan kebakaran merebak dengan cepat ke kawasan minyak terpakai yang tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan operasi memadam kebakaran sehingga kini masih diteruskan.
Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani yang turun padang mendakwa, kebakaran melibatkan bahan kimia mudah terbakar dan api merebak dengan cepat.
“Pasukan bomba sedang menjalankan operasi memadam api dan mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran.
“Operasi masih berlangsung dan dijangka ambil masa disebabkan sifat bahan kimia. Pemantauan kualiti udara sedang dijalankan,” katanya.
Sarhan Akmal menasihatkan penduduk dengan radius tiga hingga lima kilometer yang terkesan supaya menutup pintu dan tingkap rumah bagi mengelak udara tercemar masuk.
Mereka juga dinasihatkan tidak keluar kecuali perlu terutama golongan berisiko dan disaran memakai penitup muka.
“Jika alami gejala seperti pening, mual atau sesak nafas segera ke klinik. Ikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan dan pemantauan sedang dijalankan. – MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN:
















