KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 berjaya menggagalkan percubaan menyeludup 19,000 kilogram beras putih dari Thailand di Jalan Kampung Air Gatal, Tumpat, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 pagi itu, sepasukan anggota PGA yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang memunggah guni-guni putih ke bahagian belakang sebuah treler.
Bagaimanapun, kesemua suspek melarikan diri ke kawasan semak berhampiran selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata pemeriksaan lanjut ke atas treler tersebut menemui 19 tan beras putih dipercayai dibawa masuk secara haram dari negara jiran.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM426,000, termasuk nilai treler yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan tersebut.
“Semua beras yang dirampas dipercayai diseludup dari Thailand dan akan dijual ke pasaran tempatan tanpa kelulusan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kesemua rampasan termasuk treler telah diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kelantan (KSPBN) untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994. – MalaysiaGazette
















