KAJANG – Lapan pasukan menunjukkan ‘kepakaran’ masing-masing dalam pertandingan futsal persahabatan yang berlangsung di Taman Kantan Permai (TKP) di sini hari ini.
Program diadakan sempena pembukaan semula secara rasmi gelanggang futsal yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan.
Gelanggang tersebut dibuka setelah sebelum ini ditutup beberapa bulan untuk penyelenggaraan.
Hadir sama pada majlis pembukaan semula gelanggang itu Pengerusi TKP, Ismail Hori, Timbalan Pengerusi TKP, Azman Mohammed Zin serta Ketua Biro Sukan dan Riadah TKP, Muhammad Shukri Shuib.

Menurut Muhammad Shukri, program tersebut telah dirancang sejak dua bulan lalu sebagai usaha menarik golongan muda dalam kalangan penduduk memanfaatkan kemudahan riadah yang ada.
Malah, katanya, langkah itu juga dapat mengelak golongan berkenaan daripada terjebak dengan gejala-gejala merosakkan seperti penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
“Kami selaku penggerak pemuda di taman ini mahu agar semua kelompok masyarakat dapat disatukan dan ia menjadi tanggungjawab biro sukan dan riadah untuk merancang sesuatu yang boleh menarik minat mereka seperti program yang kita adakan ini,” katanya.
Lebih 100 orang menghadiri program berkenaan yang bermula pukul 9 pagi.
Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menjadi johan dalam pertandingan persahabatan manakala, pasukan dari TKP All Star menjuarai acara bagi sepakan penalti. – MalaysiaGazette
















