Dua bawah gambar Elesha dan Zulkarnan

JOHOR BAHRU – Penduduk Taman Megah Ria di sini dikejutkan dengan dentuman yang pada mulanya disangka bunyi angin kuat sebelum menyedari itu merupakan permulaan kebakaran dari sebuah kilang berdekatan.

Dakwa mereka, dentuman itu disusuli asap hitam berkepul-kepul di udara sebelum kebakaran dapat dilihat di sebuah kilang tempat penyimpanan minyak enjin lori di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri.

Penduduk setempat, Elesha Alwi, 42, berkata, kejadian cemas berkenaan bermula sekitar pukul 12 tengah hari dan merasakan tiada apa yang berlaku selepas itu.

Elesha

“Ingatkan cuma bunyi angin kuat, rupanya itu dentuman awal sebelum kebakaran. Lebih kurang pukul 1 tengahari saya mula nampak api semakin marak.

“Waktu tu memang rasa takut sangat sebab jarak rumah saya dengan kawasan terbakar itu kurang 50 meter saja,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Suri rumah itu bersama-sama tiga anaknya kemudian segera keluar rumah selepas selepas mendengar arahan polis untuk berpindah sementara bagi keselamatan.

“Kami keluar ikut pintu belakang rumah sebab api sudah sampai ke seberang jalan depan rumah. Memang panik masa itu tapi syukur tiada apa kecederaan terhadap keluarga saya,” katanya yang masih trauma dengan kejadian yang sama.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zulkarnan Mohamed Nor, 63, bimbang dengan kejadian itu kerana kawasan terbakar merupakan tempat simpanan minyak enjin.

Zulkurnain

“Kejadian ini memang mengejutkannya kerana ia benar-benar terjadi hingga memberikan kesan yang besar kepada penduduk sehingga terpaksa dipindahkan

“Lebih kurang pukul 11.30 pagi ke atas saya nampak ada kepulan asap tebal, tapi lepas tu tak lama lepas tu merebak pasal mungkin ada minyak tumpah kat situ,” katanya .

Dia yang sudah 20 tahun menetap di taman itu berkata, beberapa lori yang diletakkan di kawasan parkir kilang itu juga musnah hingga mengakibatkan banyak minyak keluar.

“Kita takut berlaku macam apa yang terjadi  dengan insiden di Petronas baru-baru ini. Saya memang bimbanglah, lagi pun memang berbahayalah letak minyak kat depan kawasan perumahan,” katanya.

Kebakaran tersebut menyebabkan kepulan asap yang dianggarkan setinggi 100 meter dan boleh dilihat dari kawasan berdekatan.

Keadaan itu mengakibatkan penduduk di sekitar Jalan Kempas 7 yang berada hanya kira-kira 50 meter dari lokasi kebakaran telah diminta untuk mengosongkan rumah.

Ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini malah bekalan elektrik ke kawasan perumahan tersebut juga telah ditutup.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan pihak bomba masih memadam kebakaran- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast