KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited membantu golongan usahawan, khususnya usahawan B40, termasuk dalam menghadapi penstrukturan tarif elektrik dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan agensi di bawah kementerian itu seperti SME Corp, SME Bank dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi meringankan beban peniaga kecil.
“Kalau kita lihat, usahawan kita banyak dibantu melalui program relief dan CSR seperti ini.
“Kita tidak pernah leka memainkan peranan dalam memberi bantuan yang diperlukan kepada usahawan, terutama dari kalangan B40.
“Sudah tentu banyak bantuan datang daripada SME Corp, SME Bank dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi meringankan beban mereka,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, KUSKOP hanya memberi fokus kepada koperasi dan usahawan manakala urusan-urusan lain berkaitan SST dan tarif elektrik boleh dijawab secara rasmi oleh menteri berkaitan.
“Yang itu saya rasa lebih baik biar menteri sendiri yang menjawab,” ujarnya ketika ditanya sama ada KUSKOP menerima aduan atau keluhan daripada usahawan atau koperasi mengenai isu tarif elektrik dan SST.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif kepada 311 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari kawasan Sungai Buloh yang memperoleh keputusan 7A hingga 11A di sini, hari ini.
Kementerian Kewangan pada 9 Jun lalu telah mengumumkan peluasan skop SST yang akan berkuat kuasa 1 Julai 2025, melibatkan beberapa perkhidmatan baharu seperti sewaan, pembinaan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.
Langkah itu dijangka menambah hasil negara sebanyak RM5 bilion pada tahun ini dan RM10 bilion pada 2026.
Dalam masa sama, perbincangan berkaitan semakan semula tarif elektrik juga sedang dijalankan.
Meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa 85 peratus isi rumah tidak terjejas, kenaikan kos asas tenaga dijangka memberi impak kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – MalaysiaGazette
















