Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2025. JRTB RMK-13 Gerik-Jeli Jalan Raya Timur-Barat
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2025.

IPOH – Kerajaan Negeri Perak berharap cadangan menambah baik laluan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dapat disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan bermula awal tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan berkenaan, termasuk kepada pembinaan jajaran baharu, merupakan keperluan memandangkan laluan yang menghubungkan Perak dan Kelantan itu sering berlaku kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, perkara itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Program MADANI Rakyat di Lumut, Ahad lalu.

“Semasa saya duduk dalam kereta yang sama bersama Perdana Menteri, saya sempat berbincang dan menyebutkan kepada beliau supaya meneliti keadaan laluan di JRTB.

“Sudah tentu beliau memaklumkan bahawa ia memerlukan kos yang tinggi, dan kita faham. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya kita sudah ‘register’ (sampaikan) hasrat kerajaan negeri kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, dekat sini, pada Sabtu.

naik taraf Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli Saarani kerajaan perak RMK-13 Perak, jalan baharu Gerik-Jeli, kemalangan JRTB Gerik, projek infrastruktur Perak, Hospital Gerik, cadangan kerajaan negeri Perak, laluan Perak Kelantan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada gimik perasmian Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2025.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof, serta Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri, A. Sivanesan kini sedang menyiapkan kertas kerja masing-masing berhubung cadangan berkenaan.

Jelas beliau, kertas kerja yang turut melibatkan kajian teknikal oleh agensi berkaitan sedang dilengkapkan sebelum dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk penelitian lanjut.

“Kajian masih berjalan untuk melengkapkan kertas kerja, oleh itu tiada tempoh masa ditetapkan buat masa ini.

“Ini kerana perkara ini melibatkan aspek teknikal. Misalnya, untuk menambah baik laluan di JRTB, ia memerlukan kajian lapangan terperinci oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Pada masa sama, Saarani memaklumkan bahawa Sivanesan turut diminta mengusulkan permohonan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menaik taraf fasiliti di Hospital Gerik.

Kata beliau, sekiranya fasiliti hospital itu dapat ditambah baik, mangsa kemalangan di JRTB boleh menerima rawatan di situ tanpa perlu dirujuk ke Hospital Taiping atau Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh yang memerlukan perjalanan lebih dua jam.

“Kekerapan kemalangan di JRTB menjadikan Hospital Gerik sebagai lokasi tumpuan. Maka, adalah menjadi keperluan untuk hospital itu dilengkapi dengan peralatan dan tenaga pakar yang mencukupi,” ujarnya.

Terdahulu, Saarani dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menambah baik laluan JRTB termasuk mempertimbangkan pembinaan jajaran baharu.

Pada 9 Jun lalu, negara dikejutkan dengan nahas jalan raya yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila bas persiaran yang mereka naiki hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, seramai 33 pelajar cedera, dengan beberapa daripada mereka masih menerima rawatan akibat kecederaan serius. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak sedia kertas kerja naik taraf JRTB, Hospital Gerik – MB

Nahas UPSI: Tragedi yang menuntut tindakan segera

RM55 juta naik taraf laluan termasuk lokasi kemalangan pelajar UPSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast