Reaksi sebahagian Mahasiswa ketika demonstrasi membantah Peluasan SST di hadapan Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 JUNE 2025

KUALA LUMPUR – Perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan menaikkan tarif elektrik asas  bermula 1 Julai ini dianggap menjadi detik sejarah hitam kepada mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia yang akan terkesan secara keseluruhannya

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Mohammad Azamuddin Sahar berkata, selepas tarikh itu, rakyat akan terus tertekan kerana kos sara hidup rakyat akan terus meningkat.

Katanya, golongan mahasiswa juga antara yang akan turut terjejas akibat perluasan cukai dan kenaikan tarif elektrik tidak lama lagi.

“Hari ini mahasiswa tidak seperti dulu di mana tidak semua ada kemudahan asrama, kami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk beli makanan.

“Kadang kala ada dalam kalangan mahasiswa termasuk saya sendiri, hanya makan mi segera. Kami juga (terpaksa) cari kerja sambilan untuk tampung kos sara hidup. Sebab itu kami rasa tertekan. Bila tidak ada duit jadi emosi terganggu, tarif elektrik dinaikkan mesti yuran akan dinaikkan.

“Dan kami rasa masyarakat juga turut tertekan, berlegar di Facebook dan sebagainya. Semua (rakyat) tidak berpuas hati terhadap perkara ini,” katanya ketika himpunan aman bagi membantah perluasan skop SST dan kenaikan tarif elektrik asas di Sogo hari ini.

Terdahulu, seramai lebih kurang 50 peserta himpunan berkenaan berarak daripada Masjid Jamek ke pusat beli belah Sogo.

Sehubungan itu, Mohammad Azamuddin mendesak kerajaan membatalkan keputusan perluasan cukai dan kenaikan tarif elektrik.

Ujarnya, GAMIS tidak teragak-agak mengadakan himpunan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya sekaligus menunjukkan ketidakpuasan hati kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusannya itu.

“Adakah kami semata-mata untuk dipergunakan? Untuk diperbodohkan atau jadi balaci kepada kerajaan. Sekiranya tidak dilaksanakan, kami akan turun ke Putrajaya berdemo di KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri) di hadapan Anwar Ibrahim. Ini janji kami, mahasiswa,” katanya lagi.

Sementara itu, menurutnya, GAMIS akan melancarkan petisyen untuk mengumpul suara rakyat yang tidak berpuas hati terhadap dasar kerajaan.

Sebagai rekod, kerajaan akan mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas beberapa barangan pilihan seperti ketam raja, salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri bermula 1 Julai ini selain menaikkan tarif elektrik asas.

Reaksi sebahagian Mahasiswa ketika demonstrasi membantah Peluasan SST di hadapan Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 JUNE 2025

Selain itu, skop Cukai Perkhidmatan turut diperluas meliputi enam kategori perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, kadar cukai lapan peratus akan dikenakan kepada penyedia perkhidmatan yang mencapai ambang pendapatan RM500,000 setahun. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.