SEPANG – Seramai 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia yang terkandas di Iran selamat tiba di tanah air malam ini menerusi misi evakuasi diselaraskan oleh Wisma Putra dan beberapa kedutaan Malaysia di luar negara.
Menurut Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), selain daripada 17 warganegara Malaysia, enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada rakyat Malaysia serta seorang warganegara Singapura.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.50 malam menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH781.
“Mereka telah melepasi sempadan Iran- Turkmenistan pada 21 Jun sebelum menaiki pesawat Turkmenistan Airlines T5 647 menuju ke Bangkok, Thailand.
“Dari Bangkok, mereka meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia menggunakan pesawat Malaysia Airlines,” kata Wisma Putra.
Untuk makluman, misi evakuasi berkenaan dikendalikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dan melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer dari lokasi masing-masing ke pintu sempadan Iran–Turkmenistan.
Urusan penerbangan dan transit di Ashgabat dan Bangkok pula dipantau serta dibantu oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Bangkok.
“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Republik Islam Iran, Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Thailand atas kerjasama erat mereka yang telah membolehkan proses evakuasi ini dilaksanakan dengan lancar dan selamat,” ujar Wisma Putra.

Tambahnya, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan rakyatnya di luar negara, selaras dengan nilai Ihsan yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Malaysia di Ashgabat turut membantu urusan perjalanan pulang warganegara Brunei Darussalam dari Turkmenistan ke negara asal masing-masing.
“Penglibatan seorang warganegara Singapura dalam misi evakuasi ini serta bantuan kepada rakyat Brunei menunjukkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara anggota ASEAN, sesuai dengan semangat solidariti serantau,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















