KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menitip pesanan buat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya tidak berlebih-lebih sebaliknya berpada-pada dalam memuji DAP.
Nasihat itu, kata Idris, berikutan Pas sebelum ini dikecam teruk oleh orang Melayu khususnya di laman maya ketika bersahabat dengan DAP dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif.
Disebabkan itu, jelasnya, Pas menarik handbrake lebih awal daripada bekerjasama dengan DAP sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana sudah dapat menjangkakan akibatnya iaitu keputusan yang disifatkan berjaya menyelamatkan parti tersebut.
“Pas berkawan kalau boleh untung agama dan bangsa, kalau tidak dapat perkara ini hendak buat apa. Hendak buat macam mana pemimpin UMNO kata, DAP ikhlas, tak berpura-pura.
“Tidak ada apa-apa pun terancam. Netizen kata, ini jawapan orang yang ada kepentingan dan jawatan, realiti mereka amat terasa bahangnya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai melahirkan rasa kasihan terhadap Asyraf Wajdi yang menerima kecaman di laman sosial susulan kenyataan beliau seperti yang disiarkan sebuah portal berita.
Menerusi laporan itu, Asyraf Wajdi dipetik berkata, UMNO tidak pernah sekali pun ditekan DAP sepanjang tiga tahun bekerjasama dengan parti tersebut dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Idris menambah, Pas sememangnya berjaya menang besar di peti undi bukan Melayu ketika bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.
Namun dalam masa sama, ujarnya, Pas turut mengalami kemerosotan di peti undi orang Melayu ketika itu,sekali gus mencetuskan persoalan berkenaan makna politik Pas untuk jangka masa panjang.
“Rakyat tak boleh terima DAP terutama orang Melayu. Yang tarbiah supaya jangan kawan DAP, UMNO lah. Masihkah engkau ingat lagi anak kecil main api di program Biro Tatanegara dulu.
“Depa pun (netizen) pakat dok buka balik kenyataan anta wahai Dr Asyraf mengenai DAP. Jenuh Dr Asyraf hendak meyakin penyokong UMNO dan orang Melayu supaya terima DAP.
“Segala hujah-hujah yang diberi oleh Dr Asyraf, lunyai kena balun,” katanya. – MalaysiaGazette
















