KUANTAN – Tiga cedera apabila sebuah bas dipercayai hilang kawalan dan terbabas di kilometer 12 arah turun dari Genting Highlands, Bentong petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.45 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati, bas itu dalam perjalanan ke Serdang dari Genting Highlands.
“Apabila sampai di lokasi semasa hendak melalui selekoh, pemandu bas hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok di bahagian kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, katanya dua penumpang bas wanita iaitu warga tempatan berusia 74 tahun dan seorang warga asing berusia 57 termasuk pemandu bas berusia 54 tahun mengalami kecederaan ringan.
Zaiham memberitahu, kesemua mangsa yang cedera itu kemudian dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette
















