KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup keluar empat ekor haiwan eksotik yang disyaki ungka tangan hitam, sejenis spesis terancam, berjaya dipatahkan hasil kerjasama strategik antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan pasukan Aviation Security (AVSEC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penyeludupan itu berjaya ditumpaskan pada 20 Jun 2025 selepas pemeriksaan bagasi di Zon Pemeriksaan H2R Hammerhead, Terminal 1, KLIA.
Pemeriksaan tersebut melibatkan penerbangan Batik Air OD0215 ke Mumbai, India yang dijadualkan berlepas pada jam 8.55 malam.

AKPS berkata, pemeriksaan lanjut ke atas salah satu bagasi penumpang telah menemui empat ekor haiwan yang disyaki ungka tangan hitam yang disembunyikan suspek, seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun.
Dia kemudian ditahan di lokasi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Aeropolis untuk tindakan lanjut.
Haiwan eksotik yang dianggarkan nilainya lebih kurang RM30,000 telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (Perhilitan) untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai spesis Terancam 2008 [Akta 686].
AKPS berkata, kejayaan ini adalah antara hasil pelaksanaan pemeriksaan bersepadu yang diperketatkan oleh AKPS, AVSEC dan Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia bermula 1 Jun 2025, yang memberi fokus membanteras penyeludupan spesis terancam khususnya di laluan Udara sektor penerbangan berisiko tinggi. – MalaysiaGazette
















