KUANTAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuantan membuat laporan polis berhubung hantaran berunsur penghinaan dan tuduhan jahat terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Perdana Menteri dan institusi Diraja yang tular di media sosial.
Ia susulan satu hantaran di akaun Instagram pengguna bernama “nxzmi.osmxn_” yang memaparkan gambar Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berserta kenyataan yang didakwa berbaur fitnah, lucah dan menghina institusi tertinggi negara.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuantan, Mohd Hilmy Yakap; Ketua Skuad Keadilan Pahang, Ragavan a/l Perianan Kovindan; dan Naib Ketua Cabang Keadilan Kuantan (lantikan), Amir Hamzah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan malam tadi.
Menurut mereka, hantaran itu secara terang-terangan menuduh perlantikan KPN dibuat hasil daripada menjadi ahli pimpinan tertinggi PKR.
Hantaran itu juga seolah-olah mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan petikan ‘arwah peliwat dulu’ dalam hantaran tersebut.
“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan menghormati institusi keselamatan serta pimpinan tertinggi negara, kami berasa amat terkejut dan marah dengan kenyataan tersebut.
“Ia bukan sahaja menghina Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri, bahkan turut mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan kata-kata kesat,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Tambah kenyataan itu lagi, laporan dibuat bagi mendesak siasatan segera dilakukan terhadap pemilik akaun berkenaan agar tindakan sewajarnya dapat diambil sekali gus mengelakkan penyebaran maklumat palsu serta provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam. – MalaysiaGazette
















