KUALA LUMPUR – Kecuaian infografik melibatkan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail oleh sebuah akhbar membuka ruang fitnah terhadap Ketua Polis Negara (KPN) baharu serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesilapan itu adalah serius yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan permohonan maaf, kata Pemangku Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin.
Jelas beliau, sebagai sebuah organisasi media besar dengan pengalaman luas, setiap berita serta infografik akan melalui editor dalam memastikan berita yang akan disiarkan tersusun, tepat serta layak disiarkan.
Sehubungan itu, tambahnya, kesilapan besar yang dilakukan organisasi media berkenaan menimbulkan spekulasi terdapat unsur sabotaj sehingga kreadibiliti portal terbabit dipersoalkan.
“Saya meminta pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dalam mengesan dan mengekang fitnah ini dari terus disebarkan akibat kesilapan Sinar Harian tanpa mengharapkan sebarang laporan dari mana-mana individu.
“Pemantauan dari kedua-dua agensi ini perlu terus dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Razeef, tindakan segera polis dan SKMM itu penting bagi menjaga imej KPN baharu berkenaan daripada terus difitnah dan dituduh kononnya dilantik atas kapasiti ‘lantikan politik’ oleh Perdana Menteri.
Sebelum ini, tular infografik yang disediakan organisasi media yang memaparkan latar belakang Mohd Khalid yang menimbulkan kekeliruan berhubung penglibatannya dalam politik.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh semalam mengesahkan Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli atau memegang sebarang jawatan dalam parti itu.
Akhbar berkenaan juga telah tampil memohon secara terbuka di laman sosial mereka dan menjelaskan maklumat tersebut dimasukkan secara tidak sengaja. – MalaysiaGazette
















