Steven Sim pada majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 bagi Zon Utara di Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan peningkatan bilangan kesatuan sekerja dan penyertaan golongan itu dalam usaha memperkukuh suara serta memperjuangkan hak dan kebajikan mereka.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian berhasrat menggandakan jumlah keahlian kesatuan kepada dua juta orang berbanding kira-kira sejuta ahli ketika ini melibatkan lebih 700 kesatuan sekerja berdaftar di seluruh negara.

“Penglibatan aktif pekerja dalam kesatuan adalah penting bagi memperkukuhkan kuasa tawar-menawar khususnya dalam rundingan perjanjian kolektif (CA) termasuk isu berkaitan gaji minimum.

“Lebih ramai pekerja perlu berpersatuan bukan untuk menentang sesiapa tetapi bagi memperolehi kekuatan suara yang lebih besar dalam mewakili kepentingan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 bagi Zon Utara di Hotel Ixora di sini hari ini.

Majlis itu turut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan dihadiri Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja, Mohd Asri Abdul Wahab.

Program PHEKS 2025 menerima sebanyak 1,049 permohonan dari kesatuan sekerja di seluruh negara, dengan 551 permohonan diluluskan berjumlah RM7.15 juta bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti berkaitan kesatuan.

Bagi Zon Utara yang merangkumi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, sebanyak 124 permohonan telah diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk tahun ini.

Dalam pada itu, Steven turut memaklumkan bahawa kerajaan MADANI menyediakan pelbagai manfaat kepada ahli kesatuan sekerja, termasuk Kad Pekerja MADANI yang menawarkan diskaun pembelian barangan terpilih bagi meringankan beban kos sara hidup. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast