Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed

PEKAN – UMNO disaran mempertimbangkan peruntukan satu atau dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) khusus untuk wakil masyarakat Orang Asli dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, sudah tiba masa parti memberi pengiktirafan yang lebih besar kepada masyarakat Orang Asli khususnya di kawasan yang mempunyai peratusan tinggi pengundi dari kelompok itu.

“Kita lihat sekarang ini semakin ramai cerdik pandai dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Ramai kalangan mereka bekerja sebagai profesional seperti peguam, doktor malah ramai juga yang berkhidmat dalam jabatan kerajaan.

“Itu petanda jelas sudah sampai masanya UMNO mengambil langkah baharu dengan meletakkan calon Orang Asli secara khusus di kerusi-kerusi tertentu.

“Ia bukan sahaja sebagai penghargaan, tetapi juga satu komitmen terhadap pembangunan komuniti mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan di Dewan Al-Bukhary Institut Kemahiran MARA, Tan Sri Yahaya Ahamad di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim; Bendahari UMNO Pekan, Datuk Seri Ishak Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain.

Jelas Mohd Fakhrul, terdapat kawasan yang memiliki komposisi pengundi Orang Asli mencecah 40 peratus hingga 50 peratus, menjadikan cadangan tersebut sebagai satu langkah yang wajar dan praktikal.

“Mana-mana sahaja kerusi yang sesuai, perlu ada usaha daripada UMNO untuk memberikan keutamaan kepada Orang Asli. Ini bukan retorik, tapi satu bentuk pengiktirafan kepada penduduk asal negara ini,” katanya.

“Kita sudah ada tokoh seperti Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor yang kini yang kini menjadi Speaker Dewan Rakyat. Jadi, tidak mustahil untuk kita lihat lebih ramai anak-anak Orang Asli menjadi ADUN, Ahli Parlimen malah Menteri atau timbalan menteri,” katanya lagi.

Justeru, Fakhrul berkata, usul itu akan dibawa kepada pemimpin parti itu agar ia boleh diketengahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast