KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan seramai lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan di sebuah restoran di Brickfields, di sini pada 13 Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua suspek ditahan pada 16 Jun di sekitar ibu negara bagi siasatan kes tersebut dan telah dibebaskan baru-baru ini.
Khamis lalu, polis tidak menolak kemungkinan dua kes tembakan yang berlaku di ibu negara dalam tempoh empat hari baru-baru ini mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap.
Selasa lalu,  MalaysiaGazette melaporkan Majistret Ainur Syuhada Jefri telah menolak permohonan reman tujuh hari oleh polis terhadap lima individu yang sebelum ini ditahan berhubung kes tembakan di lokasi terkenal dengan nama ‘Little India’ itu.
Peguam mewakili lima suspek itu, Sivahnanthan Ragava berkata, kelima-lima lelaki berkenaan bukan individu yang melepaskan tembakan, sebaliknya mereka merupakan mangsa yang berada di lokasi kejadian dan duduk semeja dengan mangsa yang maut.
Menurut beliau, pihak polis mengemukakan permohonan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh namun ia dibantah atas alasan tiada kaitan langsung antara mereka dengan kesalahan menembak.

Sivahnanthan memaklumkan beliau telah menunjukkan beberapa rakaman video yang tular di laman sosial media kepada majistret sebagai bukti bahawa anak guamnya hanya cuba menyelamatkan diri dalam kekecohan tersebut, dan ia bukan satu kesalahan di sisi undang undang.
Dalam kejadian tersebut tiga lelaki ditembak ketika makan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini menyebabkan seorang maut, manakala dua lagi cedera.
Dalam kejadian jam 10.50 malam Jumaat lepas, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa rakan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal. – MalaysiaGazette
Kes tembak Brickfields: Majistret tolak permohonan reman lima individu
















