Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara, di Pulapol Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yakin pengalaman luas Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai Pengarah Cawangan Khas memberi kelebihan kepada beliau dalam menggalas jawatan sebagai Ketua Polis Negara baharu.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, keyakinan itu khusus dalam kepakaran Mohd Khalid dalam memahami ancaman dalaman termasuk jenayah terancang, ekstremisme dan kegiatan korupsi yang berprofil tinggi.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan pelantikan Mohd Khalid sebagai pilihan tepat berdasarkan latar belakang beliau yang kukuh dalam perisikan serta keselamatan negara.

 

kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

 

Tambahnya, di bawah pimpinan Mohd Khalid sebagai Ketua Polis Negara baharu, rakyat turut menaruh harapan tinggi untuk melihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi sebuah institusi penguatkuasaan yang benar-benar bebas, berintegriti dan telus.

“MCW menjangkakan di bawah kepimpinan beliau, usaha memperkasa ketelusan siasatan, pengukuhan integriti dalam kalangan anggota serta pemantauan terhadap salah guna kuasa dalam pasukan akan diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Mohd Khalid secara rasmi mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang menamatkan kontraknya.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu PDRM itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mohd Khalid yang dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ialah pegawai berpengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan sejak mula berkhidmat dengan PDRM pada 5 April 1987.

Beliau ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, selepas tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun sama.

Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara, selain pernah menjawat jawatan utama sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I serta Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom.

Sementara itu, Jais turut berharap supaya Mohd Khalid dapat meletakkan agenda reformasi institusi dan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai keutamaan.

Jelas beliau, ia bagi memastikan PDRM menjadi barisan hadapan dalam memerangi rasuah dan menegakkan keadilan di negara ini. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast