KUALA LUMPUR – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan sebelum tamat tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif.
Berikutan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempergiatkan usaha bagi mencapai persetujuan yang boleh diterima bersama oleh pihak berkepentingan utama dari kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pada Mei 2025, eksport ke AS mencatatkan peningkatan dua digit untuk bulan kelapan berturut-turut.
Menurutnya, sejak 10 tahun lalu, AS merupakan antara tiga pasaran eksport terbesar bagi Malaysia kebanyakannya melengkapi industri domestik AS dalam sektor seperti elektrik dan elektronik, semikonduktor, peranti perubatan serta jentera, peralatan dan alat ganti.
“Malaysia juga telah menjadi sumber penting barangan perantaraan kepada industri pembuatan AS, justeru MITI akan sentiasa menegakkan kepentingan Malaysia dalam semua hubungan perdagangan dan pelaburan dengan semua rakan dagang, terutamanya dalam menjaga integriti komitmen domestik Malaysia dan hak kedaulatannya,” katanya dalam kenyataan di ini.
Tengku Zafrul telah mengetuai lawatan kerja ke Washington D.C. pada 18 hingga 20 Jun 2025 menumpukan rundingan berkaitan tarif AS yang berterusan dengan wakil perdagangan AS, Duta Jamieson Greer dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick.
MITI berkata, delegasi Malaysia yang diketuai oleh menteri memastikan mesyuarat dengan AS juga dioptimumkan sebagai platform untuk meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala kedua-dua negara.
“Kami menjangkakan rundingan ini akan membantu menjamin rantaian bekalan Malaysia, serta memberikan kesan limpahan positif kepada perniagaan Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, dan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat
Malaysia.
“Semua ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, sambil memacu agenda transformasi ekonomi madani ke arah negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi,” ujar Tengku Zafrul. – MalaysiaGazette















