Dr. Aishah Bidin akan berkhidmat dalam IPHRC bagi penggal 2025-2028 bermula Ogos 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah berjaya dipilih sebagai Ahli Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi tempoh 2025-2028.

Sesi pemilihan telah diadakan pada 21 Jun 2025 di sela-sela Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) ke-51 di Istanbul, Republik Turkiye.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah mengetuai usaha-usaha Malaysia melobi sokongan di sesi pemilihan tersebut.

Calon Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Aishah Bidin, akan berkhidmat dalam Suruhanjaya tersebut bagi penggal 2025-2028 bermula Ogos 2025.

Dr. Aishah mempunyai pengalaman dan pendedahan yang meluas dalam bidang hak asasi manusia dan kemanusiaan, terutama sekali semasa berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Beliau juga pernah pernah menjadi wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan sering diundang sebagai pakar rujuk di forum-forum anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Antarabangsa yang lain.

Keahlian Malaysia dalam IPHRC akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara-negara anggota untuk kesejahteraan ummah.

IPHRC yang ditubuhkan pada 30 Jun 2011 dan terdiri daripada 18 ahli suruhanjaya berperanan sebagai badan pakar bebas yang memberi khidmat nasihat kepada OIC dalam bidang hak asasi manusia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast