Tangkap layar menunjukkan sekumpulan warga asing melakukan protes di hadapan bangunan The Summit Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

GEORGE TOWN – Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong dijangka mengadakan sidang media berhubung sekumpulan warga asing melakukan protes di hadapan perkarangan bangunan The Summit di Bukit Mertajam pada Jumaat lalu.

Steven dilaporkan akan mengadakan sidang media bersama pihak polis dan wakil Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) jam 3 petang ini di The Summit.

Semalam, polis menahan seramai 46 warga asing yang melakukan protes dengan merosakkan van kilang tempat mereka bekerja di hadapan perkarangan bangunan The Summit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat jam 10.42 malam memaklumkan terdapat sekumpulan pekerja asing berkumpul di hadapan bangunan bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati pekerja terbabit tidak puas hati dengan tindakan warden hostel yang juga seorang lelaki warga asing yang mengutip denda ke atas pekerja jika melanggar peraturan syarikat.

“Syarikat menetapkan peraturan yang mana pekerja tidak dibenarkan untuk menghisap rokok atau meminum minuman keras semasa tinggal di kawasan hostel.

“Tindakan mengutip denda itu pula dikatakan dibuat tanpa pengetahuan pihak syarikat dan menyebabkan beberapa pekerja yang tinggal di asrama bertindak berkumpul serta merosakkan van yang diletakkan di hadapan bangunan.

“Susulan itu, kesemua 46 warga asing yang ditahan direman selama empat hari hingga 24 Jun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast