KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak boleh mengemukakan permohonan parol untuk dibebaskan lebih awal sebagai pelan sandaran jika permohonan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ditolak mahkamah.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili beliau dalam prosiding mahkamah menyatakan, permohonan parol itu boleh dikemukakan seawal-awalnya September ini.
Beliau menjelaskan, bekas Perdana Menteri yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun, secara automatik mendapat pengurangan hukuman penjara selama dua tahun.
“Tiada alasan Najib tidak boleh dapat parol kerana beliau banduan contoh di penjara dan sedang menyempurnakan pengajian di peringkat doktor falsafah (pembangunan nasional).
“Namun begitu, di Malaysia apa-apa pun boleh berlaku kerana beliau bekas pemimpin politik,” ujar Muhammad Shafee pada sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran`Antara Dua Titah’ di sini hari ini.
Beliau ditanya moderator, Kamaruddin Ahmad sama ada Najib mempunyai pelan sandaran jika gagal dalam permohonan semakan kehakiman untuk menjalani tempoh pemenjaraan sebagai tahanan rumah.
Najib menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau sepatutnya dibebaskan Ogos tahun depan.
Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette
















