PEKAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang sekali lagi akan membawa usul berkaitan pembebasan Datuk Seri Najib Razak dan isu pemilikan rumah bagi anak muda ke Perhimpunan Agung UMNO kelak.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, usul berkenaan pembebasan bekas Perdana Menteri itu menjadi usul wajib lebih-lebih lagi susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Najib baru-baru ini.
“Kamil turut menegaskan bahawa sistem penghakiman negara perlu diteliti semula kerana perkembangan terbaru itu dilihat sebagai sebuah ketidakadilan dalam proses perundangan terhadap Najib.
“Yang pertamanya berkenaan titah adendum atau berkenaan pembebasan Datuk Seri Najib dengan kes yang beliau hadapi sekarang.
“Saya juga nak tegaskan sistem kehakiman kita mungkin perlu dirombak kerana kalau tengok balik kepada sejarah atau track record yang berlaku kepada kes berkaitan SRC ini.
“Enam tahun. Secara logik akalnya, tak kan satu pun kertas pertuduhan atau dokumen tidak boleh disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan di Dewan Al-Bukhary Institut Kemahiran MARA, Tan Sri Yahaya Ahmad di sini hari ini.
Turut hadir Bendahari UMNO Pekan, Datuk Seri Ishak Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain.
Selain itu, Kamil memberitahu, Pemuda UMNO Pahang sekali lagi akan mengusulkan penubuhan suatu sekretariat khas berkaitan isu pemilikan rumah dalam kalangan anak-anak muda.
“Saya pernah juga mencadangkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) untuk menyediakan Rumah Pahang Generasi Muda dan ia merupakan satu perkara yang Pemuda Pahang perjuangkan juga,” katanya. – MalaysiaGazette
















