TEHRAN – Sebahagian besar uranium yang sebelum ini disimpan di kemudahan nuklear di Fordow telah dipindahkan ke lokasi lain, menurut sumber Iran.
Langkah ini diambil di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak serta serangan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas tapak nuklear Iran, termasuk Fordow.
Lokasi tepat uranium yang dipindahkan itu tidak didedahkan oleh sumber berkenaan.
AS telah menggugurkan enam bom “bunker buster” ke atas kemudahan nuklear Fordo dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu krus dari kapal selam ke atas dua tapak lain dalam serangan menyasarkan program nuklear Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Fox News.
Menurut laporan itu, Presiden Donald Trump memperincikan serangan berkenaan kepada hos TV Sean Hannity, dengan berkata, setiap bom bunker buster seberat 15 tan digugurkan dari pesawat pengebom “stealth” B-2 Amerika.
Secara keseluruhan, 30 peluru berpandu Tomahawk ditembak dari kapal selam AS ke atas kemudahan nuklear di Natanz dan Isfahan, menurut laporan itu lagi.
Trump mengesahkan serangan itu pada awal Sabtu dan berkata “muatan penuh” bom digugurkan ke atas tapak nuklear utama Iran di Fordo manakala serangan tambahan dilakukan ke atas kemudahan di Natanz dan Esfahan.
Beliau berkata, semua pesawat pejuang AS telah keluar dari ruang udara Iran.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, serangan Amerika Syarikat ke atas wilayah Iran merupakan ancaman langsung terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Saya amat bimbang dengan penggunaan kekerasan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran hari ini. Ini adalah satu peningkatan bahaya dalam sebuah rantau yang sudah pun berada di ambang krisis – dan merupakan ancaman langsung terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Ada risiko yang semakin meningkat bahawa konflik ini boleh dengan pantas menjadi tidak terkawal – dengan akibat buruk terhadap orang awam, rantau ini, dan seluruh dunia.
“Saya menyeru kepada semua negara anggota untuk meredakan ketegangan dan menegakkan kewajipan mereka di bawah Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa yang lain,” tulis Guterres menerusi platform X.
Tegasnya, pada saat genting ini, adalah amat penting untuk mengelakkan kitaran kekacauan.
“Tiada penyelesaian melalui ketenteraan. Satu-satunya jalan ke hadapan adalah melalui diplomasi. Satu-satunya harapan adalah keamanan,” ujar beliau. – Agensi
















