MELAKA – Tiga pemandu bas henti-henti atau lebih dikenali sebagai bas pink di Melaka digantung kerja atas pelbagai kesalahan trafik termasuk menyebabkan kematian seorang pengguna jalan raya baru-baru ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ketiga-tiga pemandu berumur 30-an itu digantung dalam tempoh yang belum ditetapkan dan berdepan risiko dibuang kerja sehingga siasatan kes melibatkan mereka selesai dijalankan serta didapati bersalah.
Beliau berkata tindakan tegas itu diambil sebagai peringatan kepada pemandu bas henti-henti berkenaan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya selain memandu secara berhemah.
Seorang daripada tiga pemandu terbabit terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang pengguna jalan raya manakala seorang lagi memotong kenderaan lain sebelum membuat pusingan U secara berbahaya dan perbuatan itu dirakam pengguna jalan raya serta tular dalam media sosial.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sikap atau cara pemanduan pemandu bas yang tidak berhemah dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain kerana ia melibatkan isu keselamatan dan nyawa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) JPJ Melaka 2025 yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Mohd Kamal Hisham Abu Bakar serta Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop.
Mengulas lanjut, Hameed Mytheen berkata beliau mengarahkan pihak pengurusan BAS.MY untuk menyemak semula rekod lampau kesemua 60 pemandu bas henti-henti itu meliputi kesalahan trafik atau jenayah.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan kesemua pemandu bas berwarna merah jambu itu bebas daripada rekod lampau sekali gus dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat serta memberikan imej positif kepada Melaka.
“Sebelum semua pemandu terlibat diambil bekerja, mereka disaring dan rekod lampau juga disemak, namun berkemungkinan terdapat pemandu cuba menyembunyikan rekod lampau mereka semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Dalam masa terdekat juga katanya, perjumpaan bersama semua pemandu bas berkenaan akan dilakukan secara berperingkat bagi mengenal pasti isu-isu lain melibatkan mereka.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 39 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka terhadap pengendali dan pemandu bas henti-henti berkenaan menerusi Op Pinky. – BERNAMA
















