PUTRAJAYA – Tindakan yang lebih tegas di bawah undang-undang yang ketat perlu diambil bagi kesalahan mencuri kabel kerana ia bukan kesalahan biasa, sebaliknya melibatkan keselamatan awam.
Malah, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sebelum ini juga sudah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu.
“Saya juga secara terbuka sebelum ini telah meminta pihak polis untuk mengambil tindakan bukan hanya di bawah kesalahan mencuri, kerana ini melibatkan keselamatan umum dan menjejaskan keselamatan awam dan negara.
“Jadi tindakan yang lebih tegas di bawah undang-undang ketat perlu diambil.
“Terpulang kepada pihak polis untuk mengambil tindakan tetapi kita tidak boleh memandang mudah berhubung ancaman kepada keselamatan awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Anthony ditanya berkenaan kebimbangan berhubung kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang kini di fasa penting menjelang penyempurnaan pada Disember 2026.
Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak yang memaklumkan, beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Bercakap kepada pemberita di Beijing, China, semalam, Darwis berkata, perkara itu bukan sahaja meningkatkan kos baik pulih dan penggantian, malah berisiko menunda jadual ujian dan pentauliahan tren yang dijangka bermula Jun 2026. – MalaysiaGazette
















