MELAKA – Ibu kandung kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berketurunan Murut yang disyaki mati didera bapa tirinya di rumah mereka pagi tadi selesai membuat pengecaman mayat anaknya itu.
Tinjauan MalaysiaGazette di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka mendapati, wanita warga Indonesia itu selesai melakukan prosedur itu pada pukul 4.12 petang.
Dia yang berpakaian hitam dan berpelitup muka kemudian dibawa pegawai polis beredar menaiki kenderaan pegawai penyiasat kes.
Difahamkan, suami mangsa sudah ditahan polis untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kejadian terbongkar pada pukul 9.45 pagi tadi selepas pihak polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta.
Sumber berkata, doktor memaklumkan terdapat kesan disyaki didera selepas mangsa dihantar bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan.
Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lembam di kepala dan badan.
“Pesakit kemudian meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi tadi,” katanya. – MalaysiaGazette
















