WASHINGTON – Imej satelit komersial menunjukkan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas loji nuklear Fordow di Iran telah menyebabkan kerosakan teruk dan mungkin telah memusnahkannya hingga ‘tertanam’ mesin-mesin pengayaan uranium di dalamnya.
Namun, pakar-pakar berkata, pengesahan mengenai keadaan sebenar belum diperoleh.
“Mereka menembusi sasaran menggunakan bom MOP ini dan saya menjangkakan kemudahan (nuklear) itu mungkin hancur,” kata David Albright, bekas pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kini mengetuai Institute for Science and International Security yang merujuk bom penembus kubu Massive Ordnance Penetrator yang digunakan AS..
Namun, Decker Eveleth, penyelidik bersekutu di CNA Corporation yang pakar dalam imejan satelit, menyatakan kemusnahan di bawah tanah tidak dapat dipastikan kerana dewan yang menempatkan ratusan sentrifug itu “terlalu dalam untuk dinilai tahap kerosakannya berdasarkan imej satelit”.
Untuk mempertahankan program nuklearnya daripada serangan seperti yang dilakukan oleh tentera AS pada awal 22 Jun, Iran telah menanam banyak infrastrukturnya jauh ke dalam tanah, termasuk di lereng gunung di Fordow.
Imej satelit menunjukkan enam lubang yang mana bom penembus kubu itu dipercayai telah menembusi gunung, serta tanah kelihatan terjejas dan diselaputi debu.
AS dan Israel telah menyatakan komitmen mereka untuk menghentikan program nuklear Iran.
Namun, jika AS dan Israel gagal memusnahkan sepenuhnya fasiliti dan peralatannya mungkin membolehkan Iran menyambung semula program senjata yang menurut risikan AS dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah ditutup pada 2003.
Beberapa pakar memberi amaran kemungkinan besar Iran telah memindahkan stok uranium yang hampir mencapai tahap senjata keluar dari Fordow sebelum serangan AS, dan mungkin menyembunyikannya bersama komponen nuklear lain di lokasi yang tidak diketahui oleh Israel, AS dan pemeriksa IAEA.
Ia kerana, imej satelit Maxar Technologies menunjukkan “aktiviti luar biasa” di Fordow pada 19 dan 20 Jun, dengan barisan panjang kenderaan di luar pintu masuk fasiliti itu.
Sumber kanan Iran memberitahu, kebanyakan uranium yang diperkaya sehingga 60% telah dipindahkan ke lokasi tidak didedahkan sebelum serangan AS.
“Saya rasa anda tidak boleh berbuat apa-apa selain melambatkan program nuklear mereka selama beberapa tahun. Hampir pasti terdapat fasiliti yang kita tidak tahu,” kata Jeffrey Lewis dari Middlebury Institute of International Studies. “Hampir pasti terdapat fasiliti yang kita tidak tahu.”
Senator Arizona Mark Kelly, ahli Jawatankuasa Risikan Senat, menyuarakan kebimbangan yang sama.
“Ketakutan besar saya sekarang ialah mereka akan menjalankan seluruh program ini secara tersembunyi – bukan secara fizikal di bawah tanah, tetapi di bawah radar,” katanya kepada NBC News.
Iran telah lama menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman.
Namun sebagai tindak balas kepada serangan Israel, Parlimen Iran mengancam untuk menarik diri daripada Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT), asas kepada sistem antarabangsa yang ditubuhkan pada 1970 untuk mencegah penyebaran senjata nuklear, sekali gus menamatkan kerjasama dengan IAEA.
“Dunia akan berada dalam kegelapan tentang apa yang mungkin dilakukan Iran,” kata Daryl Kimball, Pengarah Eksekutif Arms Control Association.
Pengerusi Joint Chiefs of Staff AS, Jeneral Dan Caine berkata, sebanyak tujuh pengebom B-2 telah menjatuhkan 14 bom GBU-57/B MOP – bom seberat 30,000 paun yang direka untuk menembusi sehingga 200 kaki (61 meter) ke fasiliti bawah tanah seperti Fordow.
Beliau menyatakan penilaian awal menunjukkan tapak itu mengalami kerosakan yang sangat teruk, tetapi enggan membuat spekulasi sama ada sebarang fasiliti masih utuh.
Eveleth berkata, imej satelit Maxar dan kenyataan Caine menunjukkan pengebom B-2 menjatuhkan enam MOP pertama ke Fordow, diikuti dengan satu lagi serangan “double tap” enam butir bom di tempat yang sama.
Serangan AS, dinamakan Operation Midnight Hammer, turut menyasarkan fasiliti utama pengayaan uranium Iran di Natanz serta menyerang Isfahan, lokasi pusat penyelidikan nuklear terbesar negara itu.
Israel sebelum itu telah menyerang Natanz dan Pusat Penyelidikan Nuklear Isfahan dalam perang 10 harinya dengan Iran. – Agensi
















