Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sekali lagi menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan cadangan untuk berkongsi sebahagian hasil cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikutip daripada negeri-negeri, khususnya Pulau Pinang.

Menurut beliau, usaha tersebut bukan perkara baharu kerana beliau sendiri telah mengetuai inisiatif tahun lalu dengan mencadangkan supaya negeri diberi 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip dari Pulau Pinang, namun cadangan itu tidak diluluskan.

Malah jawatankuasa yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung turut membangkitkan isu sama.

“Kita tidak menolak sumbangan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk peruntukan infrastruktur, namun negeri juga perlukan dana untuk melaksanakan projek pembangunan negeri dan program kebajikan rakyat.

“Jika 20 peratus dianggap membebankan, maka satu permulaan yang wajar ialah dengan berkongsi 10 peratus hasil cukai SST.

“Negeri-negeri tidak boleh diuruskan secara terpisah daripada konteks Malaysia kerana setiap negeri menyumbang kepada ekonomi nasional, termasuk dalam menjayakan strategi semikonduktor negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow turut menyatakan kesediaan untuk membawa cadangan penubuhan jawatankuasa dwipartisan antara negeri bagi mendesak Putrajaya agar mempertimbangkan perkongsian hasil ini secara bersama, dengan melibatkan menteri besar dan ketua menteri dari negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hasil daripada cukai pelancongan, Kon Yeow berkata, beliau tidak mempunyai angka terkini sama ada negeri masih menerima hasil daripada kerajaan Persekutuan dan akan mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast