KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menyifatkan keputusan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) berhubung laporan polis anak guamnya, sesuatu yang mengejutkan dan tidak dapat diterima.
Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan NFA itu bertentangan dengan prinsip tadbir urus serta kedaulatan undang-undang.
Ujar peguam yang mewakili balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, polis dan pendakwa raya berdiam diri selama sembilan bulan berhubung laporan yang dibuat anak guam mereka.
Katanya, laporan polis itu dibuat pada 30 September tahun lalu susulan pendedahan Bloomberg News yang mendakwa penglibatan peringkat tertinggi dalam siasatan terancang bermotif politik yang mensasarkan Daim.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan NFA dibuat hanya beberapa hari selepas Na’imah membuat aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) mengenai kegagalan berterusan oleh pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap laporannya.
Ujarnya, keputusan itu dimaklumkan melalui sepucuk surat yang diterima daripada Ketua Polis Daerah Sentul, kelmarin.
“Tiada maklumat diberikan mengenai siapa yang telah disoal siasat, langkah-langkah yang telah diambil atau alasan sebenar keputusan NFA tersebut.
“Meskipun laporan polis Toh Puan Na’imah mempunyai kesan kepentingan awam yang serius, polis dan pendakwa raya memilih untuk menutup kes secara senyap tanpa penjelasan dan akauntabiliti.
“Justeru, kami tidak akan berdiam diri atau beralih daripada usaha menuntut keadilan,” ujar kenyataan itu.
Daim didakwa gagal mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk kepentingan dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di lima negeri, enam hartanah, dua akaun amanah saham dan tujuh kenderaan mewah.
Selepas kematiannya pada 13 November tahun lalu, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan mahkamah membenarkan perintah pelepasan dan pembebasan penuh.
Na’imah pula dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan dalam pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan di Pulau Pinang, serta dua buah kenderaan. – MalaysiaGazette
















